Sunday, August 7, 2011
Salam Ramadhan..
Masih belum terlewat rasanya untuk saya mengucapkan Selamat Menyambut Ramadhan. Sudah seminggu umat Islam berpuasa, menandakan kita masih ada lebih kurang 3 minggu dalam bulan yang mulia ini.
Seharusnya Ramadhan adalah saat-saat yang dinanti-nantikan oleh umat Islam kerana bulan Ramadan adalah bukti Allah memuliakan hambanya dengan rahmat dan keampunan. Tanda keimanan jelas terpancar pada wajah mereka yang beriman menandakan kegirangan menyambut bulan mulia ini.
Sabda Nabi SAW bermaksud: “Sesiapa bergembira apabila datangnya Ramadan, Allah akan mengharamkan jasadnya daripada api neraka.” (Al-Hadis).
Allah juga menyebut mengenai iman pada permulaan ayat puasa dalam firman bermaksud: “Wahai orang beriman, diwajibkan ke atas kamu menunaikan ibadat puasa seperti mana diwajibkan ke atas mereka yang datang sebelum kamu semoga kamu bertakwa.” (Surah al-Baqarah, ayat 183).
Ibadat puasa dilakukan dengan penuh keikhlasan bagi menyahut seruan Allah serta menuntut keredaan-Nya menunjukkan keimanan seseorang. Hadis menyebut ibadat semua anak Adam adalah untuk dirinya kecuali puasa kerana puasa adalah untuk Allah dan Allah melipatgandakan pahala mengikut kehendak-Nya.
Malam Ramadan dihiasi solat tarawih yang tiada pada bulan lain dan padanya ada satu malam lebih baik dari seribu bulan iaitu malam lailatul qadar.
Diriwayatkan oleh Anas: “Sesiapa yang menghadirkan diri ke majlis ilmu pada Ramadan, Allah akan menulis pahala ganjaran pada setiap langkah selama setahun dan mereka yang berterusan solat berjemaah akan disediakan baginya sebuah singgahsana dipenuhi nikmat bagi setiap rakaat dilakukan.” (Hadis Fadilat Amalan).
Marilah kita memanfaatkan Ramadan kali ini dengan ibadat berterusan dan memastikan kelainan berbanding tahun lalu. Oleh itu, marilah kita mengambil peluang pada bulan Ramadhan ini untuk meningkatkan amalan kita terhadap Allah S.W.T. Pesanan ini juga adalah ingatan buat diri saya sendiri. "Ya Allah, janganlah kau biarkan aku lalai dalam mengingatimu..Amin."
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment